KOTA KINABALU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dialu-alukan untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah termasuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN yang pernah dimenangi parti itu pada PRN16.
Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan Sabah mengamalkan demokrasi iaitu mana mana-mana parti pun boleh bertanding termasuk di kerusi miliknya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan.
"Kita alu-alukan dengan penuh senang hati, kalau mereka rasa selesa atau ada peluang untuk menang dipersilakan. Kita tiada halangan.
"Lagipun ini cuma pertandingan pilihan raya, bukan pertandingan untuk bertumbuk antara seorang lain dengan seorang lain. Kita di Sabah ini kita tidak melihat saingan politik ini sebagai sesuatu yang peribadi.
"Kita boleh berbeza dari segi politik, tetapi budaya kita, kita tidak pernah mengutuk orang lain. Kita laksanakan dan amalkan politik kita secara berhemah, secara persahabatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina Affin Bank di sini pada malam Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Bersatu yang ingin bertanding lebih 18 kerusi termasuk 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini.
**media[2977372]**
Bagaimanapun, Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, setakat ini rakyat Sabah termasuk di kawasanya GRS mendapat sambutan yang baik daripada rakyat.
"Saya serahkan kepada pengundi, tetapi apabila saya bercakap ini bukan seolah-olah saya lebih yakin atau riak, tetapi setakat yang saya dapat respons kerana saya selalu balik kampung setiap hujung minggu, saya rasa rakyat masih menyokong kita," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan pembinaan lorong memotong bagi laluan Kundasang-Ranau yang diumumkannya sebagai 'gula-gula' pilihan raya, beliau menafikan perkara itu.
"Takkan kita tunggu habis pilihan raya baru kita selesaikan masalah, ini kalau kita tunggu sesuatu selepas pilihan raya hanya kerana kita khuatir ada orang akan menuduh kita sebagai gula-gula politik, sampai bila-bila pun kita terpaksa menunggu sehingga PRN untuk menyelesaikan masalah.
"Bagi saya masalah ini tak kira waktu pilihan raya atau bukan pilihan raya, kita kena selesaikannya," katanya.